Isnin, 31 Mac 2008

Penglipur Lara Terpinggir vs Bintang Popular!!!

Malam tadi ANUGERAH BINTANG POPULAR BERITA HARIAN ditayangkan secara langsung. Hurm, BINTANG POPULAR 2007 siapa lagi kalau bukan Raja SMS merangkap Raja Undi Mengundi-MAWI! Walaupun dia orang Johor, tapi Mawi adalah satu-satunya benda buatan Johor yang tak pernah sesekali jadi kebanggaan aku, ANAK JATI JOHOR! Tup tup dalam Berita Harian hari ni, ada suatu kisah yang terpinggir: PENGLIPUR LARA.
Kalau setakat penyanyi mee segera macam Mawi, berlambak=lambak Malaysia boleh lahirkan, tapi sang PENGLIPUR LARA yang akan menjadi nilai seni bangsa, akan terus dipinggir dan terpinggir dari kancah keglamoran yang sia-sia dan menjadi tunjang hedonisme!!!
Penglipur lara terpinggir


Hanya Romli Mahmud tukang cerita yang masih hidup SENI Awang Batil di Perlis dan Kedah kini semakin dilupai dan hikayatnya mula tenggelam ditelan arus, apatah lagi dengan kemunculan pelbagai seni hiburan moden yang dianggap lebih relevan dengan golongan muda. Apa pun, bagi Romli Mahmud, 53, dari Chuping, Perlis, keserasiannya bersama seni tukang cerita yang dikenali juga sebagai Tok Selampit atau Penglipur Lara berdasarkan panggilan setiap negeri itu masih kuat sehingga hidupnya sendiri saling tidak tumpah seperti kehidupan Awang Batil yang mempunyai dua karektor berbeza yang boleh berubah mengikut keperluan serta keadaan.

Cuma bezanya, karektor Awang Batil berubah mengikut topeng yang dipakai sama ada sebagai hulubalang atau ahli nujum, manakala bagi Romli pula dia akan kekal sebagai anak kampung dan hanya berubah sebagai Awang Batil sekiranya seruan persembahan tiba. Namun, kegusaran masih menghantui dirinya kerana sehingga sekarang beliau masih belum menemui pengganti yang boleh mengambil alih, sekali gus meneruskan pengekalan seni Awang Batil di bumi Malaysia, sedangkan usianya kini semakin lanjut. "Untuk menjadi Awang Batil bukan senang. Saya pernah melatih ramai anak muda terutama pelajar seni kebudayaan untuk dididik sebagai pelapis, namun masih belum ada yang betul-betul sesuai.

ROMLI satu-satunya Awang Batil yang masih hidup di Perlis.

"Ada yang boleh dan mahir sekali bercerita, tetapi tidak pandai mengetuk batil dan ada juga yang sebaliknya. Malah, ada yang pandai kedua-dua sekali, tetapi apabila diminta menggabungkannya, gagal berbuat demikian," katanya yang kini giat melatih enam pelapis Awang Batil dari jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis. Menceritakan pembabitan sebagai Awang Batil, Romli berkata, dia bernasib baik kerana dikurniakan kebolehan semula jadi untuk bermain alat muzik terutama gendang terinai sejak kecil lagi iaitu ketika berusia lapan tahun. Mengenai koleksi cerita yang sering dibawa, katanya cerita berkenaan bukan baru dan sering diperdengarkan Allahyarham bapanya setiap malam terutama ketika dia hendak tidur. "Saya sendiri tidak tahu cerita yang disampaikan itu adalah koleksi Awang Batil, sehinggalah saya sendiri mendengar ia didendangkan kepada umum. Oleh kerana, saya memang sejak kecil lagi mengikuti Allahyarham bapa saya bercerita, maka sedikit sebanyak minat serta kebolehan itu masuk dan sebati dalam diri saya hingga ke hari ini.

KETUA Sumber Manusia Digi, Adzhar Ibrahim (kiri) menyerahkan plak ukiran kepada Romli pada Majlis Digi's Amazing Malaysian 2006 di Chuping, Perlis sambil disaksikan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kasim.

"Selain itu, saya juga banyak berkongsi cerita dengan rakan lain, terutama orang lama yang memang memiliki cerita turun-temurun ini," katanya yang mempunyai empat anak hasil perkongsian hidup bersama Nasirah Abdul Rahman, 46. Ketika ditanya mengenai watak Awang, Romli kemudian tersenyum sambil berkata, Awang kan hero Melayu..tak kan la kita nak pakai nama orang lain pulak. Beliau berkata, sejarah Awang Batil pada awalnya disampaikan dari mulut ke mulut kononnya seorang anak dara meminum air yang terkumpul di dalam lopak batu di hutan, sehingga hamil dan melahirkan seorang anak lelaki dinamakan Awang. Kelahiran tanpa bapa menyebabkan Awang tertekan akibat dihina sebagai anak luar nikah. Justeru, Awang lari ke hutan untuk mencari bapanya, sehingga bertemu dengan seekor gajah putih di kawasan lopak air yang pernah diminum ibunya suatu ketika dulu yang juga air kencing gajah berkenaan. Untuk membersihkan namanya, Awang mula menceritakan kisah hidupnya itu kepada umum dan dia mengembara dari satu kampung ke kampung lain untuk menyampaikan ceritanya itu, dengan berbekalkan batil yang diberikan gajah putih itu. Kerana itulah kebanyakan cerita disampaikan Romli berkenaan dengan lelaki bernama Awang. "Semua cerita yang saya sampaikan adalah turun temurun yang saya dapat dari satu generasi ke satu generasi dan saya tidak mencipta cerita baru kerana bagi saya ia tidak asli," katanya yang menghafal lebih daripada 20 cerita pelbagai tajuk. Antaranya ialah Awang Akar Larak, Awang Lurus, Awang Ada Duit Semua Jadi, Awang Kambing Berak Terbit Emas, Awang Geliga Embun dan Awang Segan. Bagaimanapun, untuk setiap persembahan, Romli lebih gemar bercerita kisah Awang Akar Larak atau Awang Kambing Berak Terbit Emas. "Penonton suka kisah yang berakhir dengan kegembiraan dan tidak suka yang berakhir dengan kesedihan dan ini penting kerana saya perlu kekalkan minat penonton. Nanti kalau asyik bagi cerita sedih orang akan bosan. "Untuk menambah keceriaan, dalam setiap cerita saya turut selitkan lagu yang sesuai seperti lagu Makan Sirih, Air Mawar, Sri Siantan serta beberapa lagu dalam bahasa Tamil yang diiringi gesekan biola serta memek muka tertentu," katanya. Tindakan Romli yang masih memperjuangkan seni penglipur lara selain statusnya sebagai Awang Batil terakhir ini turut diiktiraf syarikat telekomunikasi, DiGi yang mengangkat Romli sebagai seorang dari projek Amazing Malaysian 2005. Melalui projek itu, seramai 60 pelajar dari empat buah sekolah dibimbing Romli bersama beberapa penggiat teater handalan seperti Joe Kukathas dan Namron selain tenaga pengajar dari Temple of Fine Arts yang membantu pelajar ini mengenali asas pergerakan, muzik, tarian dan Awang Batil. Malah, melalui seni Awang batil juga, Romli turut berpeluang mengunjungi negara luar sekali gus memperkenalkan seni budaya Melayu itu kepada dunia luar. Ini termasuk ketika menyertai Pusat Kebudayaan Pulau Pinang (PCC) dalam lawatan dan persembahan tiga minggu ke Thailand (1995), Singapura (1996) dan Switzerland (1997). "Saya sangat berbesar hati apabila masih ada pihak yang menghargai seni ini. Saya harap daripada 60 pelajar ada yang berkebolehan dan berminat untuk mendalaminya. Tapi itu pun susah hendak menduga kerana dalam empat anak saya, tidak ada seorang pun yang berminat," kata Romli dengan penuh harapan.

Profil Romli Mahmud
Usia: 53 tahun
Status: berkahwin, empat anak
Asal: Chuping, Perlis
Menetap: Chuping, Perlis

FAKTA
Awang Batil adalah tukang cerita yang dikenali juga sebagai Tok Selampit atau Penglipur Lara berdasarkan panggilan setiap negeri.
Cerita Awang Batil diwarisi secara lisan.
Cerita popular termasuk Awang Akar Larak dan Kambing Berak Terbit Emas.
Persembahan Awang Batil diiringi ketukan batil, biola, serunai dan rebana.
Hanya ada seorang saja Awang Batil di Malaysia yang masih hidup.

Antara cerita Awang Batil yang dimainkan oleh Romli
Awang Akar Larak.
Awang Lurus.
Awang Ada Duit Semua Jadi.
Kambing Berak Terbit Emas.
Awang Geliga Embun.
Awang Segan.

Jumaat, 28 Mac 2008

Setelah 3 bulan

28/03/2008. Genap 3 bulan aku tak mencoretkan apa2 kat blog ni. Terasa blog macam dah bersawang gamaknya. Macam-macam pengalaman yang dah aku timba, macam-macam perangai manusia yang aku hadapi, macam-macam hari yang dah ditempuhi.
Berhelai-helai diari hidup dah dikoyak, sesuai dengan betapa banyak hari-hari yang dah dilalui sepanjang 3 bulan yang lepas. Ermm, cuma arini, aku rasa betapa harus dikorbankan IMPIAN demi MEMBAHAGIAKAN insan lain. (Setelah airmata 'jantan'ku tertumpah pagi tadi selepas berbicara dengan mak n tok). Betapa harus aku mencurah bakti pada pertiwi sebelum dapat aku berbakti kepada misi kemanusiaan dan kembara solo yang aku dah impi dan citakan... Kata puan marja, pengorbanan itu BERBALOI malah PAHALA ganjarannya!!! Kalau Mahadzir Lokman terpaksa KORBANKAN offer CNN demi menjaga ibunya, maka aku pun akan mengambil jalan yang sama.. Mungkin longlife passion aku selama ni (POLITIK) terpaksa aku lupakan.. Mungkin.
Hidup ni lebih bererti jika kita dapat membahagiakan orang lain... Seperti yang aku cakap kat mak pagi tadi: "Selagi NASIRAH yang mak anugerahkan pada iqa masih ada, masih bernyawa, selagi tu iqa akan sentiasa membantu dan menolong.. tak kira siapa, tak kira apa.."