Ahad, 22 Mac 2009

Kembali Pulang

Seorang Haziqah Nasirah.. kembali pulang! Pulang dalam diri sendiri untuk kembali juang dalam medan pertarungan yang tinggal sebulan dua cuma..

Dari Februari.. saat aku pulang ke Kota Tinggi untuk menghadiri peperiksaan PTD hingga kembali semula di Kota Kinabalu untuk meneruskan kehidupan sebagai pelajar tahun akhir, aku tidak lari dari ujian, cabaran dan dugaan. Mac menjadi kemuncak segala-galanya. Satu ketika, aku terasa bagai lemas di lautan yang luas, seorang diri. Aku bagai tidak bernafas dan akhirnya derai-derai jernih jatuh jua.. Namun, airmata itu hanya aku yang merasa kerana aku tidak akan menunjukkan gundahku pada sesiapa. Ini perjuanganku! Satu ketika juga, aku benar-benar dicabar sehingga kekuatan dan motivasi tinggi yang ada dalam jiwa hanya tinggal 1%, senipis kulit bawang! Macam-macam terlintas di fikiran.. loser, down, seorang yang tewas dan gagal! Ah, aku ketika itu benar-benar merindui Haziqah Nasirah, aku merindui kemenangan dan aku merindui diri aku yang sebenar!

Dan akhirnya.. kerana kasih Allah dan kerana kuasaNya juga, aku bangkit! Aku kembali.. Airmata yang cuma sekali adalah terapi, dan aku kembali membetulkan niat dan matlamat perjuangan, berdoa dan terus berdoa. "Hidup memang perlukan cabaran. Manusia perlu menghadapi cabaran itu, tidak kira dia akan menang atau tewas di kemudian hari. Hanya manusia yang lari dari cabaran sahaja yang dianggap GAGAL!" Itulah yang aku pegang.

Saat aku menulis ini, aku berada di landasan yang sebenar dengan momentum yang telah aku jumpa. Alhamdulilah, syukur aku pada Allah! Segala yang aku lalui terasa begitu indah. Benarlah kata orang: "Yang pahit jangan terus diluah, yang manis jangan terus ditelan!" Segala bebanan kecil telah berjaya diselesaikan. Yang tinggal hanya TESIS dan PEPERIKSAAN AKHIR. Dada yang lapang, hati yang riang adalah tonik untuk kejayaan. Itulah yang aku cari..

Aku jadikan 'kesengsaraan' kecil yang aku lalui sebagai batu loncatan untuk aku mempelajari dan menghayati erti hidup. Melalui kesengsaraan, aku kenal diri aku. Aku seorang yang berdikari dan susah untuk menerima bantuan dari orang lain kerana aku punya harga diri yang begitu tinggi. Dan aku sentiasa memikirkan yang aku SEORANG PEJUANG!

Hari Khamis lepas, aku ke KK dengan menaiki City Bus dari 1Borneo. Aku duduk di kerusi, dan kemudian bangun untuk memberi tempat kepada seorang makcik. Walaupun aku terpaksa berdiri, aku rasa benar-benar lapang dan gembira, hanya Allah yang mengetahui perasaan aku ketika itu. Kemudian, aku berkenalan dengan seorang adik yang amat peramah bersama ibunya. Adik itu kemudian memberikan aku tempat duduk selepas dia dan ibunya turun di Masjid Likas. Ya Allah, betapa aku rasakan hidup ini benar-benar indah. Bila kita belajar untuk memberi, Insyaalah, kita akan diberi lebih daripada apa yang telah kita beri. Itulah yang aku belajar..

Aku juga ingin memberi dan terus memberi selepas ini. Kalau aku punya ruang dan peluang, aku ingin sesekali melakukan sesuatu untuk bangsaku, agamaku dan negaraku. Buat masa ini memang aku menumpukan kepada tesis dan pengajian. Tetapi sebaik sahaja aku pulang ke Kota Tinggi nanti, aku ingin menulis. Bukan menulis pengalaman atau kisah hidupku, tetapi menulis kisah hidup orang lain yang tidak sebangsa atau seagama denganku Semuanya kerana satu: KEMANUSIAAN. Ya Allah, berikan aku kekuatan, berikan aku Nasirah dan jadikan aku Haziqah! Amin...