Selasa, 12 Jun 2007

Lalang dan Rafflesia

Bersama Sasterawan Negara S. Othman Kelantan
di Perkampungan Penulis Muda Kebangsaan 2005

Sajak ni membawa kenangan manis untuk aku. Selepas LALANG DAN RAFFLESIA, aku dihambat kesibukan dengan hal-hal lain, maka tak sempatlah aku menajamkan mata pena. Mungkin dalam masa terdekat ni, aku akan kembali berkarya. Walaubagaimanapun, rakan-rakan penulis muda Johor 2005 yg sama-sama pergi ke Kundasang cukup aktif dalam menulis. (Syafiqah dan Lela-ke mana korang berkelana tanpa berita???) Syabas kepada ZULFAZLAN JUMRAH dan MOHD FAIRUZ PADOLI yg semakin hari semakin kembang sayap mereka. Insyaallah, kita jumpa lagi dalam lapangan sastera ya!


LALANG DAN RAFFLESIA


Jadilah seperti lalang
terhuyung hayang meliuk lintuk
ke kiri kanan,
depan dan belakang
pabila dihambat kencang tiupan angin
tetap tegar kerna
pasak akar
berpaksi tunjang di tanah glokal
tetapi...
“Usah kau ikut
resmi lalang,
jadi pak turut tiada pegangan.”

Ah, persetan
dengan kata orang!
kerana prinsip, pegangan dan perjuangan
bisa mengaburi
manusia
buta perut pejam mata hati
hingga terguling dari megah panca
persada
bagai Marcos dan Sese Seko
yang menjadi rafflesia
Nabalu
menghembus ambaran busuk
memikat kecil-kecil
serangga
mendebungakan zuriat kronisme dan nepotisme
panjang masanya untuk
mekar
kemudian...
Nah! Hidupmu cuma seminggu...

Lalang tetap
lalang
yang tidak ingin
mendebik mata parang
rafflesia adalah
rafflesia
yang menjadi mainan mulut
besarnya di antara bunga
dunia
tetapi gah reputasi rafflesia
belum pasti menjadi ujana
syurga
dan goyangnya lalang
bukan bererti tiada jati diri
tunduk
menuruti.

HAZIQAH NASIRAH BT ZOL BAHARI
HADIAH
HASIL KARYA TERBAIK
PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA BERSAMA SASTERAWAN NEGARA
PERINGKAT KEBANGSAAN 2005

KINABALU PINE RESORT, KUNDASANG, SABAH

Tiada ulasan: