Sabtu, 22 November 2008

Kehangatan Wanita

Hmmm.. sejak balik rumah ni, aku habiskan masa dengan membaca dan tengok TV dan.. movie. Bila dah balik ke tabiat lama - membaca, aku kurang makan. Cuma bila aku dah sampai tahap 'starving', pagi-pagi buta pun sanggup meredah embun pergi memuaskan tekak! Tadi aku ajak Chik gi beli KFC. Tapi, cuma seketul je Snack Plate yang aku habiskan. Hey, HAZIQAH NASIRAH ke ni??!! Macam tak caye je kan..

Apa yang menjadi minat aku sekarang ni adalah isu-isu wanita selain isu WANITA (UMNO). Datuk Shahrizat Abdul Jalil vs Tan Sri Rafidah Aziz! Aku memang mengikuti kemelut Wanita ni. Menarik. Tidak kira dengan persaingan banyak penjuru yang berlaku dalam Puteri UMNO lagi. Datuk Rosnah Rashid Shirlin dan Kak Bibi Sharliza kedua-duanya mahukan KOMPROMI, tetapi Datuk Shahaniza dan yang lain-lain mahukan pemilihan Ketua Puteri dilakukan melalui pemilihan. Ahli-ahli Puteri telah matang, kata Datuk Shahaniza lagi. Aku 'setuju dan tidak setuju' dengan kenyataan beliau. Matang. Dari satu sudut Puteri dilihat telah matang, namun ada banyak sudut Puteri masih bertatih. Betul kata Datuk Noraini ketika berucap di Kluang dahulu, Puteri diwujudkan semasa UMNO dilihat tidak lagi relevan. Maka, Puteri adalah wadah untuk mendekatkan UMNO pada hati dan jiwa genegarasi muda. Realitinya, adakah Puteri benar-benar relevan kala ini?

Menyentuh tentang persaingan antara Datuk Shahrizat dan Tan Sri Rafidah. Wanita sepatutnya menonjolkan kematangan dalam isu peralihan kuasa. Memang sebelum ini, sejarah menunjukkan telah wujud rekod persaingan. Antaranya, Tan Sri Aishah Ghani pernah melawan Tun Fatimah Hashim. Tan Sri Rafidah pernah melawan 2 Z- Zaharah dan Zaleha. Tetapi, bagi aku, Tan Sri Rafidah seharusnya menutup kegemilangan politiknya dengan pelan peralihan kuasa pada Mac 2009 dan bukannya Jun 2009. Tan Sri Rafidah cuma satu. Gaya beliau cukup mengujakan aku. Bukan mudah untuk mencari seorang wanita seperti beliau. Namun, seandainya beliau mengundur diri secara terhormat dan bukan melalui pertandingan, aku akan lebih menghormati dan mengagumi beliau! Wanita UMNO yang ada pada hari ini jauh berbeza dengan Pergerakan Kaum Ibu sewaktu zaman Ibu Zain mahupun Tun Fatimah Hashim dahulu. Kesedaran berpolitik dalam kalangan wanita-wanita Malaysia kian berkembang. Permainan politik juga semakin 'kencang'. Disebabkan oleh perbezaan 'mazhab' dan pertandingan dalam Wanita dan Puteri, maka kedua-dua pergerakan ini goyah dan longgar ikatannya.

Rakyat Malaysia pada hari ini tidak boleh ditipu lagi. Tidak perlulah menonjolkan 'permuafakatan' atau 'perpaduan' palsu tetapi hakikatnya, hanya Tuhan saja yang tahu! Kepada ahli-ahli pergerakan Wanita dan Puteri akar umbi, pilihlah pemimpin yang dapat mengemudi sayap-sayap UMNO ini dengan jaya, bukan memilih pemimpin yang berkepentingan. Pemimpin akan datang dan pergi, tetapi UMNO kita cuma satu! Perkelahian dan perpecahan mudah untuk dilakukan. Tetapi perpaduan bukan mudah. Sekiranya tenaga WANITA dapat digabung dan diperkemaskan, insyaallah, wanita akan maju ke hadapan.

Kemelut wanita yang berlaku pada hari membuatkan aku berfikir sejenak. KUASA WANITA. Ya, KUASA WANITA. Wanita yang berkuasa mempertahankan kekuasaan dan wanita yang ingin berkuasa bersaing untuk mendapatkan kekuasaan. Dalam persaingan sebegini, kepercayaan dan kesetiaan bukan lagi ukuran, tetapi masing-masing berusaha membuktikan kehebatan. Aku terfikir lagi. Kalaulah kehebatan wanita-wanita yang sedang bersaing ini disatukan, tidak mustahil, akan ada Hillary Clinton dan Sarah Palin Malaysia! Banyak isu yang sepatutnya ditangani oleh Wanita dan Puteri, bukan soal peralihan kuasa dan politik semata-mata. Isu lesbian dan pengkid yang menjadi polemik dalam tabloid Harian Metro misalnya, perlu diubati segera. Masalah moral gadis-gadis juga perlu diambil tindakan bersama. Soal ekonomi khususnya dalam kalangan ibu-ibu tunggal Melayu perlu dititikberatkan. Pendidikan duniawi dan ukhrawi yang patut diberikan oleh kaum ibu kepada anak-anak tidak harus diperlekehkan.

Isu wanita di Malaysia semakin hangat. Hal inilah yang membuatkan aku lebih terpanggil untuk membaca lebih lanjut tentang isu-isu kewanitaan, tentang feminisme. Sepanjang perjalanan aku selama 22 tahun ini, macam-macam wanita yang telah aku jumpa. Ada wanita waja. Ada wanita lemah. Ada wanita yang tidak memerlukan lelaki, ada pula yang terlalu mendambakan kehadiran lelaki. Ada wanita yang menjadi mangsa lelaki, ada pula yang menjadikan lelaki sebagai mangsa. Wanita, sebagaimana namanya.. penuh kehangatan!

Tiada ulasan: