Sabtu, 27 Oktober 2007

Kisna


Aku suka sangat filem-filem lama macam ni.. Tak kira Hindustan ke, Melayu ke, Omputih ke.. Semua aku tengok. "KISNA" memang aku nak tengok sangat. Filem ni released tahun 2005 lagi, tapi dulu macam aku tak pernah dengar pun publisiti filem ni.. Meh, cite sikit filem best yang ditayangkan di TV2 tadi..

Filem KISNA didokong oleh Vivek Oberoi (Kisna), Antonia Bernath (Catherine Beckett) dan Isha Sarvani (Lakshmi) yang merupakan bekas gimnas.. Turut dibantu oleh Amrish Puri yang berlakon watak antagonis yang juga bapa saudara Kisna. Dia akhirnya mati di tangan Kisna. Selain itu, Om Puri, adik Amrish turut berlakon sebagai Juman Masoom Kishti. Dia penyanyi latar kepada Naima Begum, lakonan Sushmita Sen. Aku memang minat kat Sushmita! Penampilan khas sebagai Naima Begum memang hebat, cantik dan menarik. Cukup berkesan!!! (Aku suka filem Devdas, tapi kurang minat dengan Aishwarya Rai dalam filem tu. Madhuri Dixit lebih ummpphh!)

Filem ni berlatar tahun 1940-an, semasa British memerintah India. Lady Catherine Williams@Catherine Beckett mengimbas kembali kisah lamanya. Watak Kisna dan Catherine membesar dari kanak-kanak yang mana Kisna belajar Bahasa Inggeris dari Madam Jennifer Beckett. Babak Jennifer bermain piano di samping Kisna memainkan tiun serulingnya yang disaksikan oleh Catherine menarik. Bapa Kisna, Sri Ram merupakan orang gaji Peter Beckett, bapa Catherine yang juga Penolong Pesuruhjaya British di kampung tersebut. Peter membenci orang-orang India, tetapi berkawan baik dengan Putera Raghuraj yang dalam diam mahu menjadikan Catherine yang layak dipanggil anak sebagai isterinya. Catherine telah dihantar ke England untuk tinggal bersama makcik Margaretnya kerana Peter khuatir Catherine akan jatuh cinta dengan Kisna.

Apabila India diwar-warkan akan MERDEKA dari British, Catherine dibenarkan bapanya pulang ke India. Namun, keadaan pada waktu itu tidak sama lagi dengan dulu. Walaupun sentimen anti-British telah reda di seluruh India, orang-orang kampung amat membenci Peter Beckett kerana bersekongkol dengan Putera Raghuraj yang membekalkan air kotor kepada orang kampung sehingga menyebabkan kematian. Sri Ram khuatir Kisna juga akan bersikap dingin kepada sahabatnya ketika kecil-Catherine. Namun, kedinginan Kisna terhadap Catherine akhirnya terhapus ketika berjumpa di tebing Sungai Devpayag yang begitu cantik! Catherine menunjukkan seruling milik Kisna yang telah dibawa ke England bersamanya dulu.

Persahabatan Kisna-Catherine dicemburui oleh Lakshmi, cucu Dada Guru, cikgu yang mengajar Kisna bermain seruling. Lakshmi seperti OBSES dengan Kisna, menganggap Catherine pengacau antara dia dengan Kisna. Dada Guru kemudian telah meminang Kisna untuk Lakshmi. Walaupun Kisna masih belum bersedia, dia tetap meneruskan pertunangan dengan Lakshmi demi perjanjian yang terpatri antara orang tuanya dengan Dada Guru. Bahiro Singh@Amrish Puri yang kononnya anti-British adalah opportunist yang mengharapkan duit daripada pihak British. Peter tidak melayan tuntutannya, lalu pada suatu malam, Bhairo Singh bersama-sama Shankar, abang kandung Kisna telah menyerang rumah Peter lalu memenggal kepalanya. Catherine telah lari lalu bersembunyi di kuil. Kisna telah membunuh pengikut Bairo Singh yang hendak membunuh sahabat orang putihnya.

Setelah membunuh konco si jahat, Kisna dicari dan dianggap sebagai pemberontak. Kisna didatangi ibunya yang juga adik Bhairo Singh sewaktu dia dan Catherine bersembunyi di kandang kuda rumahnya. Ibunya memberi restu agar Kisna menyelamatkan Catherine yang dizalimi dan menghantarnya ke Delhi agar dia boleh kembali ke England. Di sinilah bermulanya babak perjalanan Kisna-Catherine yang mencabar dan cinta mereka bertaut. Bhairo Singh dan Shankar memburu Kisna yang dianggap pembelot bangsa manakala Putera Raghuraj mendambakan Catherine. Semasa menumpang di rumah sahabatnya, Nandu, Kisna dan Catherine telah berlakon sebagai suami isteri demi meyakinkan ibu bapa mertua Nandu yang merupakan orang Brahmin. Babak Nandu dan isterinya menyanyi dan menari ketika satu perayaan membuka cerita tentang Dewa Krishna dan Radha yang dipercayai dalam agama Hindu.

Setelah melalui pelbagai dugaan, Catherine diselamatkan oleh pegawai-pegawai British. Putera Raguraj mati di tangan Shankar, abang Kisna. Pergaduhan antara Islam-Hindu turut dipaparkan (nama Mohammad Ali Jinnah-'The Founder of Pakistan' juga telah disebut ketika awal cerita). Kisna yang memasuki kawasan hitam pergaduhan dua puak ditanya adakah dia Hindu atau Islam, lalu Catherine mengatakan bahawa Kisna adalah suaminya, John Thomas lalu ditunjukkannya rantai salib yang telah dikalungkan ke leher Kisna sebelum itu sebagai bukti. Kecintaan Catherine kepada India terserlah
melalui kata-katanya ketika ditemubual oleh wartawan-wartawan tempatan. Catherine telah membuka sebuah sekolah di kampung Kisna dan mewasiatkan agar abunya dihanyutkan ke Sungai Gangga setelah dia mati. Sungai Gangga adalah tempat cintanya 'disatukan' bersama Kisna dan tempat abu Kisna bersemadi.

Walaupun filem Kisna adalah filem cinta, namun cinta itu telah diolah dengan baik sekali. Bukan CINTA BERENDAM AIR MATA dan BERULIT DI KATIL seperti filem-filem dan drama-drama Yusuf Haslam! (Muak dengan 'Airmata Maria'!!!) Filem Subash Ghai ini telah melukis landskap kehidupan kampung dan keindahan India dengan cantik. Masyarakat yang anti-penjajah juga digambarkan. Tema perjuangan juga tidak dapat lari dari filem ini, selain erti pengorbanan dan tanggungjawab yang ditunjukkan oleh watak Kisna, yang mana menolak untuk mengikut Catherine ke England kerana dia telah bertunang dengan Lakshmi, walaupun pada dasarnya dia begitu menyintai Catherine. Gubahan lagu juga indah. Terdapat sebuah lagu Inggeris yang diberi nafas India. Tarian-tarian yang ditari oleh Lakshmi juga klasik.

Aku suka filem ni sebagaimana aku suka ASOKA, LAGAAN, MAGAL PANDEY, 1942: A LOVE STORY, JIMI ASMARA, EMBUN, 300 dan filem-filem yang sewaktu dengannya! Bukan senang nak buat filem bukan dari zaman kita ni.. Yang pasti, aku yang berjiwa lama akan terus teruja dengan filem-filem berlatar dulu-kala!!!

Tiada ulasan: