Khamis, 23 Oktober 2008

Basikal Tua Tokbah dan UMNO

Inilah basikal tua Tokbah...

Ada apa dengan basikal tua Tokbah dan UMNO??? Aku betul-betul tertarik dengan kenyataan Tun Musa Hitam, bekas Timbalan Perdana Menteri (juga pernah menjawat kerusi hangat di Kota Tinggi) semalam. "UMNO sedang berhadapan dengan PENYAKIT TUA!" Beliau juga mendakwa bahawa UMNO terlalu INTROVERT dan hanya memfokuskan kepada masalahnya sahaja. Ya, inilah yang berkaitan dengan ISU-ISU yang telah aku tulis semalam. Apa yang Tun Musa perkatakan sama dengan apa yang sedang bermain-main di benak aku..

Tinggalkan Tun Musa dan kenyataannya, berbalik kepada BASIKAL TUA TOKBAH dan UMNO. Selepas episod tragis kematian Tokbah pada tanggal 24 FEBRUARI 2005, basikal tua Tokbah langsung tidak pernah disentuh oleh kami sekeluarga. Tokbah dan basikal tuanya sudah cukup sinonim, seperti Melayu tanpa UMNO dan UMNO tanpa Melayu. Selepas 3 tahun lebih pemergian Tokbah, aku kembali membangkitkan nostalgia dan kenangan terhadap Tokbah dengan memberi 'sentuhan' baru kepada satu-satunya khazanah yang mempunyai 'sentimental value' yang cukup tinggi buat diri aku!

Tokbah bukan sesiapa. Tokbah bukan juga tokoh yang wajahnya menghiasi dada-dada akhbar dan menjadi bahan tulisan sejarah. Tokbah hanya seorang pencinta UMNO dan bangsa. Tokbah yang bersusah-payah dan berkeringat memacak poster-poster dan papan-papan tanda Parti Perikatan. Tokbah juga penyokong kuat SINGA UMNO, Syed Jaafar Albar. Sokongan Tokbah kepada parti bukan kerana not-not merah atau not-not ungu dengan nilai 10, 50 atau 100, tetapi kerana kesetiaan yang datang dari jiwa yang murni. Ya, darah perjuangan Tokbah diwarisi oleh anak ke-4 daripada kesemua 6 orang anak perempuannya, YB Asiah bt Haji Md. Ariff, Exco Negeri Johor merangkap ADUN Johor Lama dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Tinggi. Tapi, Tokbah tetap Tokbah. Ketika penamaan calon di Dewan Jubli Intan suatu ketika dahulu, Tokbah tak minta dijemput atau layanan 1st class walaupun anaknya sebagai calon. Tokbah tetap dengan basikal tuanya, mengayuh tanpa jemu dan letih.

Dulu, pagi-pagi Tokbah akan keluar rumah mengayuh basikal tuanya untuk ke kedai suratkhabar Ah Kow di bawah jambatan. Selepas tu, Tokbah akan ke kedai kopi Hailam, minum kopi dan bergebang barangkali. Kadangkala ke pasar membeli bahan-bahan untuk memasak makanan kegemarannya seperti mee rebus, ikan sembilang asam pedas atau laksa. Berbungkas-bingkis plastik yang tokbah bawa di basikal tuanya, berat, tapi Tokbah tak merungut. Anak-anak semua berkereta, tapi Tokbah tak pernah minta dihantar ke sana sini. Itulah Tokbah dan basikal tua, hidup dengan penuh harga diri. Tokbah bukan memandu Mercedesz mata lalat tapi rupa-rupanya dibeli dengan songlap duit parti! Tokbah tak pakai pun Honda, Toyota atau BMW dengan cermin gelap dan tak nampak orang di tepi. Tokbah tetap dengan basikal tua dengan tayar getah buatan tahun 1985, hujan dan panas Tokbah redahi.

Basikal tua dengan harga diri. Itulah Tokbah yang aku sayangi dan kagumi. Basikal Tokbah sama dengan UMNO (menurut kaca mata Tun Musa), sama-sama TUA. Balik cuti semester nanti, akan aku 'kerjakan' dan beri sentuhan baru kepada peninggalan Tokbah yang satu ini. Di bandar Kota Tinggi, baik Melayu, Cina atau India, semuanya sudah cukup mengenali Tokbah dan basikal tuanya. Suatu ketika nanti, aku akan kayuh basikal tua Tokbah mengelilingi bandar Kota Tinggi dengan penuh harga diri. Begitu jugalah yang aku harapkan kepada UMNO. Berilah UMNO sentuhan baru, tetapi nilai-nilai nostalgia (perjuangan bangsa) tetap tidak dilupakan. UMNO memang sudah dikenali, baik oleh Melayu, Cina mahupun India di seantero negara. Tetapi, mampukah orang-orang muda seperti yang disebut oleh Tun Musa 'mengayuh' UMNO sepertimana aku akan mengayuh basikal tua Tokbah dengan penuh harga diri?

*Sayang sekali, puas aku geledah laptop dan CD-CD gambar, tapi aku tak ketemu gambar Tokbah!

Tiada ulasan: