Rabu, 22 Oktober 2008

PERNYATAAN TERBUKA KEPADA UMNO BAHAGIAN KOTA TINGGI

Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Tinggi akan diadakan pada hujung minggu ini. Tak lama lagi. Kepanasan, kehangatan dan kehangitan akibat mesyuarat dan pemilihan kelak tidak mampu diungkap dengan kata-kata lagi. Saya sama sekali tidak akan menyentuh soal siapa yang akan memenangi kerusi panas Ketua Pemuda atau Ketua Puteri Bahagian. Saya juga menulis bukan kerana sesiapa, saya menulis atas kesedaran sebagai ANAK JATI KOTA TINGGI, sebagai generasi muda dan sebagai seorang ANAK MELAYU yang begitu sayang kepada MELAYUnya dan PARTI MELAYUnya iaitu UMNO. Saya adalah seorang yang berkecuali, di atas kapasiti saya sebagai seorang PELAJAR (bukan Mahasiswa kerana dalam AUKU disebut 'pelajar'). Oleh yang demikian, saya bukanlah penyokong kem Dato' Seri Syed Hamid Albar ataupun kem Pak Daeng Malik.

Atas rasa kesedaran yang begitu memuncak di jiwa, saya ingin mengatakan bahawa apa juga persengketaan mahupun perselisihan yang berlaku di dalam UMNO Kota Tinggi pada detik dan saat ini tidak memberikan satu makna sekalipun kepada bangsa MELAYU Kota Tinggi! Ya, pemilihan untuk menentukan pemimpin adalah penting. Pemilihan ini adalah suatu bentuk demokrasi. Tetapi, begitu banyak perkara yang terlepas pandang ataupun terpaksa di'lepas pandang' oleh mereka yang punya kuasa dalam UMNO Kota Tinggi kerana pertandingan merebut jawatan adalah cukup penting, adalah prioriti dan adalah penentu hidup mati (ataupun penentu periuk nasi?).

Lupakan sebentar soal KUASA, JAWATAN ataupun KEM mana kalian: ibu-ibu, bapa-bapa, kakak-kakak, abang-abang dan saudara-saudara saya sekalian sokong. Lupakan. Cuba kalian berjalan-jalan dan ambil angin di sekitar bandar Kota Tinggi. Bukakanlah 'MATA HATI' kalian. Lihat sekeliling. ADA APA DENGAN KOTA TINGGI??? Dulu... Kota Tinggi adalah sebuah pekan koboi barangkali. Kini... Kota Tinggi adalah bandar yang semakin berkembang. TAPI... tidak nampakkah kalian kepada KEBEJATAN-KEBEJATAN SOSIAL yang sedang BERMAHARAJALELA di bandar kita?! Jejakkan kaki ke Plaza Kota Tinggi, Famili Mart mahupun Pasaraya Kini, bilang dengan jari, berapa ramai TOMBOI atau PENGKID yang sedang asyik berkepit dengan pasangan sejenis berkeliaran??? Berapa ramai anak MELAYU yang menjadi MAT GIAN dan mencemari daerah ini dengan kekotoran najis dadah? Berapa ramai anak MELAYU yang sedang berpeleseran tanpa pekerjaan dan memadu kasih bersama pasangan? Berapa ramai pula 'ANAK-ANAK MEE SEGERA' yang dilahirkan tanpa pernikahan?

Tidak kiralah PENGKID-PENGKID dan anak-anak MELAYU tadi berasal dari mana: penduduk bandar mungkin akan menuding kepada FELDA, FELDA pula akan menyalahkan orang bandar. Tapi kita adalah orang-orang KOTA TINGGI! Memang... tanggungjawab untuk memerangi kebejatan sosial ini barangkali bukan hanya dipikul oleh UMNO. Ada Rakan Muda, ada Belia, ada bermacam-macam lagi agensi dan persatuan yang sepatutnya bertanggungjawab berkenaan hal ini. TETAPI, sebagai sebuah PARTI MELAYU, UMNOlah yang perlu berhabis-habisan merawat, memerangi dan mengatasi kebejatan sosial ini! Tapi, UMNO Kota Tinggi tidak bersatu, bukan? UMNO Kota Tinggi tahu dan maklum dengan wabak dan virus kebejatan sosial ini, yang didalangi oleh ANAK-ANAK MELAYU yang warna kulitnya sama dengan warna kulit pemain-pemain politik UMNO Bahagian Kota Tinggi. Tapi, sekali lagi, masalah ini dipandang sepi. Mungkin saya tersilap. Mungkin UMNO Bahagian sedang berhempas pulas dengan pelan-pelan dan rencana-rencana untuk merawat masalah kebejatan sosial ini. Atau mungkin dalam Perhimpunan kelak, pemain-pemain politik UMNO di Kota Tinggi akan berapi-api dan berkobar-kobar berucap, selamatkan anak bangsa kita, buat itu, buat ini! Tapi, pengimplementasiannya? Hanya retorik dan gebang politik sahaja barangkali.

Kenapa perlu saya bangkitkan persoalan ANAK-ANAK MUDA MELAYU? Seperti kalian sedia maklum dan sudah naik muak mendengar ungkapan Presiden Soekoarno: "Berikan aku seribu orang tua, aku hanya bisa mencabut sumur di Gunung Mahameru, tetapi berikan aku sepuluh orang muda, aku bisa MENGGONCANG DUNIA!" Inilah buktinya bahawa kelompok muda yang mungkin dianggap 'sampah' atau 'tiada apa-apa' ini suatu ketika nanti akan mewarisi kepimpinan negara dan bangsanya. Juga akan mewarisi Parti Melayu yang amat disayangi di watan Kota Tingi-UMNO. Tetapi, jika warisan yang ditinggalkan oleh bapa-bapa dan ibu-ibu mereka adalah saka yang bisa memecahbelahkan 7 keturunan, mengapa mereka perlu mewarisinya, bukan? Inilah analogi yang mungkin kalian perlu terjemahkan berdasarkan senario di Kota Tinggi. Biar saya bawa kalian memandang lebih jauh: fikirkan apa yang terjadi kepada UMNO Kota Tinggi seandainya PENGKID atau MAK NYAH yang akan mengisi kerusi NOMBOR 1 UMNO Kota Tinggi kelak. Ataupun, seorang MAT GIAN menjadi Ketua Pemuda dan seorang MINAH REMPIT mengisi jawatan Ketua Puteri? Soal moral pemimpin menjadi pokoknya kerana pemimpin yang tidak bermoral ibarat sebatang pohon yang manaungi sekelompok manusia tetapi sedang menunggu masa untuk tumbang kerana di akarnya beribu-ribu anai-anai berumah.

Laporan dalam HARIAN METRO baru-baru ini tentang seorang pelajar perempuan Matrikulasi yang berasal dari Kota Tinggi ditangkap ketika sedang melakukan hubungan seks dengan pasangannya dalam keadaan mabuk adalah cukup memualkan dan memalukan seantero Kota Tinggi dan warganya (yang masih punya kesedaran). Tidak hanya sosial, kita pandang pula isu EKONOMI ORANG MELAYU KOTA TINGGI. Ya, sehingga ke saat entri ini ditulis, terdapat ramai ahli perniagaan Bumiputera dan usahawan-usahawan MELAYU yang masih survive di Kota Tinggi. Tetapi, apa akan jadi sekiranya jambatan baru yang menghubungkan Pasir Gudang dengan Bandar Penawar (BETULKAN fakta ini sekiranya saya tersilap) siap nanti. Apa akan jadi dengan bandar Kota Tinggi? Akan terus hidup atau menjadi 'hidup segan mati tak mahu'? Sekiranya ditolak perniagaan ORANG-ORANG KAMPUCHEA yang mengaut untung di Kota Tinggi, berapa sajalah kedai yang MELAYU Kota Tinggi ada? Manalah perginya daya saing ORANG-ORANG MELAYU KOTA TINGGI? Perniagaan yang tumbuh bagai cendawan adalah perniagaan makanan. Tetapi, tak disentuh lagi dengan 'PhD' dalam kalangan Melayu yang kalian sedia maklum.

Kita, iaitu saya dan kalian perlu ingat bahawa POLITIK bukanlah KUASA yang sebenarnya dalam dunia ini. Tanpa KEKUATAN SOSIAL, tanpa KEKUATAN EKONOMI, kita tidak akan beroleh KEKUATAN POLITIK. Pemimpin yang bermoral akan menjadi pejuang sejati dalam perjuangan memartabatkan bangsanya. Banyak lagi kerapuhan di Kota Tinggi yang perlu diperbaiki oleh UMNO Kota Tinggi. Pembangunan bukan hanya isu tunggal yang menjadi perdebatan kerana kalau membangun sekalipun Kota Tinggi tetapi diusahakan oleh usahawan-usahawan Cina dan Kampuchea, apalah sangat pembangunan itu? Bangunan sana sini, kemudahan itu ini, apalah sangat sekiranya anak-anak muda Melayunya masih dalam lamunan dan bobrok? Dalam bercakap tentang 'mengubah kepimpinan UMNO BAHAGIAN KOTA TINGGI', jangan lupa berazam untuk melakukan revolusi mental. Siapalah saya dan apalah sangat pernyataan saya ini. Bapa-bapa dan abang-abang mungkin akan mengatakan tulisan saya ini hanya 'sampah', tetapi sebelum 'sampah' dibuang, lihat-lihatlah dulu sama ada 'sampah' ini adalah sampah yang boleh diguna semula atau dihantar ke pusat kitar semula. Saya bukan mahu mengajar kalian yang sememangnya lebih dulu makan garam dari saya, sebaliknya sayalah yang perlu menuntut ilmu dengan kalian. Tetapi demi darah MELAYU yang mengalir dalam jiwa saya, demi juang MELAYU yang sentiasa menjadi degup jantung saya, maka saya menulis catatan usang ini. Bukalah MATA HATI kalian. Pandang-pandanglah isu yang terpinggir ini. Kuasa dalam tangan kalian. Suara adalah suara saya dan sahabat-sahabar seusia saya, yang barangkali terfikir akan hal ini tetapi tidak mampu untuk menyuarakannya.

Banjir besar sebanyak 2 kali telah banyak 'mencuci' kekotoran yang mencengkam KOTA TINGGI. Saya tidak mahu 'banjir besar' lagi. Saya tahu kalian juga begitu, bukan? Menulis memang senang. Berkata-kata dan berucap penuh berapi juga mudah bagi pemimpin dan pemain-pemain UMNO BAHAGIAN KOTA TINGGI, tetapi cubalah untuk melaksanakan sesuatu yang dianggap isu lama dan berhabuk, tetapi tidak pernah selesai. Untuk 'menyedarkan' yang telah terlupa dan lalai dengan harta dunia dan kuasa sementara, bukan tugas semudah menulis dan mengetuk papan kekunci komputer! Cikgu Rosleli (Tuan Haji Rosleli) adalah cikgu yang mengajar saya di Sekolah Kebangsaan Bandar, Kota Tinggi. Takkanlah saya ingin mengajar Cikgu saya pula, bukan? Tidak terniat pun. Sekiranya terdetik dalam hati politikus UMNO Bahagian Kota Tinggi yang saya TIDAK LAYAK mencoret dan menyentuh apa jua berkaitan UMNO dan kalian, saya TIDAK PEDULI, kerana saya adalah ANAK JATI KOTA TINGGI yang jika dicampak ke hujung dunia sekalipun akan tetap pulang ke daerah tanah tumpah darah yang saya cintai! Jika banjir dan taufan sekalipun yang mendatang, saya tidak mampu lari, kerana KOTA TINGGI adalah pertiwi, rumah, tanah, kampung dan tempat saya sejak dahulu lagi!

Akhirul kalam, biarlah 2 buah sajak di bawah ini yang berkata-kata dan menggambarkan gelora perasaan dan keinginan saya dan umat MELAYU KOTA TINGGI secara keseluruhannya terhadap UMNO BAHAGIAN KOTA TINGGI. Sajak MELAYU JOHOR nukilan Allahyarham Usman Awang, anak kelahiran Sedili, Kota Tinggi dan sajak Lim Swee Tin, bukan seorang Melayu, tetapi mahu kita, umat Melayu, BERSATU!

MELAYU JOHOR

Melayu Johor
telah terlalu banyak kita kehilangan
sawah ladang bertukar tangan
pekan dan bandar kita menumpang
Teluk Belanga entah ke mana
yang tinggal hanyalah pakaian
sedarah sedaging hampir hilang
yang ada hanyalah setulang
Selat Tebrau kian sempit
hati rindu jauh tergamit.

Di Johor,
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar itu Melayu
Minangkabau memang Melayu
Aceh dan Siak adalah Melayu
Jakun dan Sakai lebih Melayu
Arab dan Turki pekat Melayu
Mamak dan Malbari jadi Melayu
malah Muallaf bertakrif Malayu.

Melayu itu maknanya bijaksana
"jika menipu pun bersopan",
kurang ajarnya tetap santun
dajalnya cukup selamba
budi bahasa jangan dikira
beraninya cukup benar
tunduk bila bersalah
"lembutnya cukup jantan"
setia sampai ke kubur
biar mati adat jangan mati sahabat.

Anak Johor,
luka di Tanjung Putri
parutnya di Parit Raja
muka biar berseri
mulut biar berbahasa.

Berkelahilah cara Melayu
menikam dengan pantun
menyanggah dengan senyum
marahnya dalam tertawa
merendah bukan menyembah
meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
jiwa Melayu mengangkat persahabatan
kasih sayang kekeluargaan
ringan tulang saling bertolongan
jujur memaafkan, ikhlas memberikan.

Berdamailah cara Melayu
silaturrahim yang murni
di mulut sama di hati
maaf senantiasa bersahut
tangan dihulur bersambut
luka pun tidak lagi berparut.

Melayu Johor saudaraku yang dikasihi,
dalam kekeruhan ini carilah perdamaian
sifat terpuji setiap insan.

Bermuafakat supaya berkat
bersaudara dunia akhirat
berikhtiar dengan tabah
kepada Allah berserah.

USMAN AWANG, 1988


BERSATULAH MELAYU, BERSATULAH

Bersatulah Melayu
kalau nampak ada retak
kerana retak hujungnya belah
bimbang belah membawa pecah
Melayu itu tak mampu berpecah!

Bersatulah Melayu
Melayu itu cermin
dalam jernihnya kita menilik
kita menilik mencari wajah
wajah Melayu wajah kita!

Bersatulah Melayu
Melayu itu lampu
terangi jalan luas terbentang
siapa cuba kuburkan suluh
kelak hilang arah dan tuju.

Bersatulah Melayu
Melayu itu payung
payung jangan carik
carik payung
manakah lagi tumpang berlindung

Bersatulah Melayu
Melayu itu pohon
akarnya mencengkam bumi
bumi itu pautan kasih
kasih Melayu segala kasih!

Melayu bersatulah
cari dan rangkalah jalan damai
damai membuka pintu pertemuan
pertemuan kelak
merintis padu
berpadu Melayu berpadu semua!

LIM SWEE TIN, UPM, 2008

Tiada ulasan: