Rabu, 4 Julai 2007

Gema Royal Albert Hall

tanggal 1 April 2005
di Royal Albert Hall
di dewan tua seabad usia
di lapangan berprestij London
terpaku ribuan pasang mata
terbuai sukma dek keasyikan sebuah gema

bukan gema gesekan Vanessa Mae
bukan gema petikan Santana
bukan gema paluan Kitaro
bukan gema dendangan Mariah Carey
bukan jua gema dansa Michael Jackson

tetapi kerana
gema kidung Sang Puteri Kuala Lipis
yang ligat mengalun tari menggamit borjuis Inggeris
Percayalah Seindah Biasa Cindai Ya Maulai
rentak pop, alunan kontemporari dan irama asli
silih berganti memecah sepi

penuh di dada akhbar dengan tulisan pujian
sesak majalah picisan dengan warna kehebatan
kejayaan sang puteri kesayangan watan
mencoret tinta emas pada wajah sejarah bangsa
memacak muzik negara tinggi di puncak dunia

ah, tiada sekilas bangga mengalir dalam urat rasaku!
aku bukan jumud jauh sekali menista
cuma gema Royal Albert Hall itu hanya
menyalakan lagi api keghairahan anak bangsaku
yang hanyut mengukir nama melakar kemasyhuran
dalam lapangan kepura-puraan yang di awang-awangan

tambah pula…
Sang Puteri meminta-minta dibantu kantungnya
konon untuk memartabat seni suara
demi menerobos tembok antarabangsa
dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur hingga ke Kota London
aku tidak takjub apatah menumpang kagum
kerana gema Royal Albert Hall bukan beerti
darjat dan kemuliaan bangsaku ada di pancapersada…

HAZIQAH NASIRAH ZOL BAHARI
03/07/2005


*Satu lagi koleksi sajak oleh budak hingusan.. Dua sajak tentang Mawi dan Siti aku tulis masa tingkatan 6 dan dimuatkan dalam majalah "Laksamana" sekolah. Pengalaman pertama jadi KETUA EDITOR merangkap Pereka Bentuk, banyak pengorbanan dilakukan hingga 'lari' dari trek perlumbaan mengejar 4A! Hmmm.. Satu catatan PAHIT yang aku kenang-AKU YANG TERTEWAS! Well, SITI 4 sure akan datang ke Penang, Konsert Gegar U!, sama macam Mawi.. Wah wah wah.. Moga2 aku dapat jumpa FRANCISCA PETER satu hari nanti..

Tiada ulasan: