Isnin, 2 Julai 2007

PENGHARGAAN BUAT SEORANG SRIKANDI


Aku menulis kerana aku mahu menulis. Tak dibayar. Tak diupah. Tulisanku adalah pandangan peribadi sebagai pemerhati. Kalau ada yang mencaci atau tidak berpuas hati, aku menerima dengan sudi. Penghormatan aku kepada seorang wakil rakyat wanita semakin bertambah dari sehari ke sehari.. Insan yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan ~ YB ASIAH MD ARIFF, ADUN Johor Lama merangkap Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Tinggi. YB Asiah adalah seorang mentor, seorang guru dan bekas bos aku. Lupakan tentang pertalian.. Lupakan tentang hubungan antara aku dan YB Asiah.. Aku menulis sebuah penghargaan buat seorang SRIKANDI, YB ASIAH yang dikasihi..


YB Asiah adalah anak jati Kota Tinggi. Beliau merupakan anak keempat daripada enam orang adik beradik perempuan. Pengalaman beliau dalam arena politik tempatan cukup luas. Masakan tidak, beliau mula bergiat dalam UMNO sejak tamat persekolahan lagi. Bermula dari tiada apa-apa kepada seorang kerani biasa sehinggalah kerjaya terakhir sebagai Penyelia KEMAS, beliau adalah seorang yang cukup komited dalam segala hal. Beliau mula bertanding pada Pilihanraya Umum 1999 dan diletakkan sebagai calon Barisan Nasional di kawasan Dewan Undangan Negeri Sedili. Dalam Pilihanraya Umum 2004, beliau sekali lagi diberi kepercayaan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri Johor Lama walaupun ketika itu pelbagai kontroversi seperti tuntutan kawasan oleh MCA, perebutan jawatan, krisis dalaman UMNO Bahagian dan macam-macam hal lagi mengganggu gugat kerjaya politik beliau.


Seorang ahli politik, tidak kira lelaki atau perempuan, perlu bersedia untuk ditembak dengan peluru-peluru kritikan, kutukan, kecaman, fitnah dan seumpamanya. YB Asiah juga tidak terkecuali. Bermacam-macam perkataan yang dilemparkan kepada beliau oleh musuh-musuh politik yang KEJI dan berkeliaran di gelanggang politik Kota Tinggi - kesat, tajam dan menghiris! Perkataan seperti PEREMPUAN S****L adalah perkataan maha zalim yang dilemparkan oleh PECACAI-PECACAI yang cuma mengotori kesucian UMNO di Kota Tinggi. PECACAI-PECACAI yang cuma tahu MENJILAT KAKI dan MEMBODEK adalah DAJAL yang turun MEMBINASAKAN keharmonian Kota Tinggi! Perkara-perkara peribadi beliau turut diserang tanpa belas kasihan! Inilah politik bukan? Politik yang tidak kenal perbezaan gender. YB Asiah yang aku kenal, adalah seorang pemain politik yang bersih. Ya, bersih. Perkara itulah yang menguatkan kekagumanku kepada beliau! Berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Ketenangan menjadi senjata utama dalam perjuangan.


YB Asiah adalah antara 5 orang wakil rakyat wanita di negeri Johor selain YB Datuk Halimah Mohamed Sadique, YB Dr Hajah Robia Dato' Haji Kosai, YB Hajah Jamilah Endan dan YB Lee Kee Moi. Ibu saudara beliau, Dato' Sabariah Ahmad merupakan bekas ADUN dan EXCO Negeri Johor merangkap bekas Ketua Pergerakan Wanita Negeri Johor. Namun, beliau meniti tangga politik dengan titik peluh beliau sendiri. Walaupun dilihat sebagai penerus legasi 'kuasa wanita' dan penyambung generasi kedua dalam keluarga, beliau tetap beliau yang sentiasa merendah diri dan berpijak di bumi nyata. Kata PAS, seorang perempuan tidak seharusnya menjadi pemimpin, apatah lagi memegang jawatan sebagai wakil rakyat. Tapi itu PAS yang dulu. Dalam Pilihanraya Umum 2004, PAS meletakkan beberapa orang wanita sebagai calon. Seorang daripadanya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri. Tugas seorang sebagai wakil rakyat wanita sememangnya menuntut pengorbanan dan penuh cabaran. Selain tugas di pejabat, perhatian untuk rakyat, jadual yang tidak kira waktu, panggilan yang bertalu-talu, wakil rakyat wanita seperti YB Asiah juga punya tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu di rumah. Tidak senang bukan.


Adat seorang YB, turun ke padang melihat kawasan. Tapi berapa kerat YB-YB yang sentiasa turun padang? YB yang petah berkata-kata, pandai menabur janji memang berlambak! Bila gendang pilihanraya rancak dipalu, barulah YB-YB meraih simpati memancing undi rakyat. Banjir yang melanda negeri Johor dan daerah Kota Tinggi merupakan satu cabaran besar kepada YB Asiah. Kawasan Johor Lama paling teruk dilanda bencana tersebut sehingga terputus hubungan dengan dunia luar. Beliaulah antara orang penting yang ke hulu ke hilir melawat rakyat yang menjadi mangsa banjir. "YB, tempat tidur tak selesa!" "YB, makanan kami!" "YB, itu tak cukup.. Ini tak cukup.." Kepulanganku ke Kota Tinggi menjadi saksi kepada kerja kuat dan komitmen hebat yang ditunjukkan oleh YB Asiah. Anak dan suami terpaksa diletakkan dalam senarai terakhir memandangkan nasib rakyat yang perlu diutamakan dan diberi pembelaan. Makan dan minum tak menjadi kepentingan. Kawasan penempatan mangsa banjir menjadi perhitungan. YB Asiah tidak perlukan Harian Metro, Berita Harian, TV3 atau RTM dalam menyampaikan bantuan. Tak perlu semua publisiti. Yang penting rakyat puas hati! Bantuan yang berduyun-duyun dari bermacam syarikat dan badan korporat diagihkan sama rata dan sama adil. Syabas, YB! Biarlah nama dan populariti datang kemudian, yang penting keikhlasan dan kejujuran dalam melaksanakan tanggunjawab yang terpikul.


Tetapi, malang seribu kali malang. Masih terdapat segelintir manusia TIDAK SEDAR DIRI (bangsaku-MELAYU) yang tidak pernah mengambil iktibar dek bencana banjir yang melanda. Sudahlah diberi penempatan percuma, makanan percuma, bantuan percuma, baju percuma sehingga pakaian dalam pun percuma, tapi masih tidak bersyukur jauh sekali berterima kasih. Dasar MENTALITI SUBSIDI!!! Tetapi YB masih tenang, masih sabar dengan kerenah bangsanya yang bermulut jahat. YB juga tabah dengan penghinaan oleh orang-orang UMNO sendiri yang tak reti-reti buat kerja, yang tak pernah menjengokkan muka bila bencana melanda tapi sibuk menempel muka kalau Dato' ada! Bila YB bekerja, mereka iri hati dan menyebar fitnah merata. Kalau YB duduk sahaja, lagilah diumpat dicerca!


Menyentuh soal kerja, YB cukup teliti, tekun dan mementingkan kesempurnaan. Kerja-kerja Pilihanraya yang sudah bermula YB kerjakan sendiri sehingga jam 2, 3 pagi. Print itu, print ini. Data-data YB bukukan sendiri. (WANITAlah penggerak dan nadi UMNO dalam Pilihanraya. Aku tertanya-tanya ke manakah perginya PUTERI? Takkanlah setakat mengajar kelas Bahasa Inggeris sudah penat tak terperi? Atau salun dan kompleks beli-belah yang dicari?) Ah, YB! Biarlah orang mengeji, lantaklah kalau dicaci. Tapi kami di Kota Tinggi masih boleh mengenali, yang mana bersih, yang mana berdaki! Kata YB tentang pilihanraya nanti: "Tengoklah kalau ada REZEKI!"


YB, di mana kan KAMI CARI GANTI, seorang SRIKANDI PENUH BERANI, BERKHIDMAT SEPENUH HATI, BEKERJA PENUH TELITI . DEMI RAKYAT YANG MENGUNDI, DEMI WATAN YANG DICINTAI, DEMI BANGSA YANG DIKASIHI. Terima kasih YB! TERUSKAN KESUCIAN DALAM BERPARTI, KEJUJURAN UNTUK PENGUNDI! ALLAH jua YANG MAHA MENGETAHUI..

Tiada ulasan: