Rabu, 4 Julai 2007

Malam 6 Ogos, Bangsaku (Selepas Menonton konsert Akhir AF3)

Malam 6 Ogos…
Bangsaku murah benar hatinya
Menabur wang berjuta-juta menghantar SMS menimbun
Lupa mereka tentang harga bahan api yang naik lagi
Lupa mereka kepada si daif yang menjamu siput hari-hari
Lupa mereka hendak menabung untuk simpanan diri
Tak mengapa demi mengundi pelajar akademi!

Malam 6 Ogos…
Kala Pak Lah memacak panji-panji Islam Hadhari
Kala Pemuda merencana Agenda Nasional Baru
Kala Serambi Madinah disuci dari najis Kerajaan Langit
Kala umat Islam bergelut dari kepompong label pengganas
Bangsaku terus disaji enaknya fantasi tak bertepi
Norma agama yang dicabuli dihalalkan dek hati kian mati.

Jantung hatiku disentap gelora rasa pilu
Hela nafasku tersekat dek hambatan prahara duka
Bangsa yang hakikatnya sudah 48 tahun bebas merdeka
Rupa-rupanya hanyut dalam penjajahan minda
Sebenarnya ditawan oleh lingkaran jahanam hedonisme
Lantas tiang negara dikafankan dengan fantasi pemudi
Sedang idola pemuda bertalkin di kubur harapan bangsa.

Sesalanku bersarang dan kecewa menggamit nubari
Andai Cat Steven berhijrah kepada Yusuf Islam
Menyubur dakwah menyinari jalan Yang Maha Esa
Namun anak bangsa yang Islam hakiki taksub menyanyi
Ada apa berlumba-lumba mencari populariti?
Mengapa harta ilmu tak dicari lagi?

Malam 6 Ogos, bangsaku…
Jika waktu dan sejarah mampu diputar kembali
Dato’ Onn pasti menitiskan derai-derai jernih
kerana semak samun penjajahan yang ditebasnya tumbuh kembali
Sedang Tun Mahathir akan merintih sayu
kerana bangsanya terjerat dalam jerangkap samar Zionis
yang mendamba kehancuran tamadun Islam sejagat.

HAZIQAH NASIRAH ZOL BAHARI
6 OGOS 2005


*Sajak lama aku, masa sekolah tingkatan 6 dulu. Aku memang beremosi kalau cakap tentang bangsa. Satu perkara tentang JOHOR yang aku tak berapa nak BANGGA - "MAWI", Juara AF3. Untuk berlaku ADIL, aku rasa Mawi layak dapat apa yang dia dah dapat sebab dia taat pada mak bapak dia. Tapi aku tak suka dengan orang keliling aku yang FANATIK dan "KIPAS SUSAH MATI" (Die Hard Fan ler..) dengan insan bernama Mawi. Ishh, tolonglah.. Hmmm.. Rasanya kat konsert Gegar U! nanti Mawi ada tau. Jreng jreng jreng..

Tiada ulasan: